Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk meluaskan pelaksanaan program penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ke semua sekolah mulai tahun depan di bawah kementerian tersebut.

Fadhlina Sidek berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa pelaksanaan program ini hanya kepada pelajar beragama Islam tanpa penglibatan murid bukan Islam dalam semua aktiviti yang dirancang sekolah.

Ujar beliau, usaha ini adalah bagi membentuk nilai dan sahsiah yang baik serta menyemai semangat kasih sayang dan menerapkan kefahaman agama dalam kalangan murid Islam seiring dengan hasrat melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik di samping menyokong elemen dalam rukun Malaysia Madani terutamanya berkenaan hormat dan ihsan.

“Modul ini dibangunkan KPM dan diselaraskan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan syarah atau kupasan hadis dalam modul terbabit sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

“Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun modul itu adalah bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Jadi modul yang digunakan tiada pertindanan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.

“KPM merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan membabitkan murid beragama Islam saja mulai tahun 2024,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan dari PN-Kuala Krau, PN-Temerloh, PN-Kuala Krai, PH-Bukit Bintang, PH-Sri Gading, PN-Tumpat dan PN-Kulim Bandar Baharu berhubung pelaksanaan program berkenaan di sekolah.

Fadhlina turut berkata bahawa bagi permulaan pada tahun ini, program ini dimulakan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dengan menggunakan modul yang mengandungi 42 hadis yang terkandung dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi.

Beliau berkata, KPM merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan itu ke semua sekolah kendaliannya mulai tahun depan, yang hanya membabitkan murid beragama Islam.

Katanya, KPM sudah mengeluarkan surat siaran Pelaksanaan Aktiviti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di SMKA dan SABK bertarikh 4 Oktober 2023.

“Syarah yang dibuat bersama JAKIM ini sangat penting untuk memastikan konteksnya dan pemahaman sampai kepada murid,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

“Aktiviti itu juga boleh dilaksanakan sama ada di dalam atau luar bilik darjah,” katanya.
Pihak sekolah boleh merujuk Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dengan memuat turun modul itu menerusi pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) KPM bagi memastikan kelancaran aktiviti penghayatan ini.