Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DUA firma guaman disaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, minggu lalu.

SPRM memfailkan saman untuk mendesak peguam Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman mereka menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan berkenaan isu bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion.

Memetik FMT, agensi itu mengemukakan dua permohonan berasingan terhadap peguam dan firma guaman mereka pada minggu lalu.

SPRM berkata, kedua-dua peguam tersebut enggan membenarkan pegawai-pegawainya menjalankan operasi penyitaan dan serbuan ke atas dokumen di bawah seksyen 31(1) Akta SPRM apabila lawatan dibuat pada 6 Oktober.

Jelas SPRM, kedua-dua peguam itu berpendapat bahawa dokumen-dokumen tersebut merupakan komunikasi sulit antara anak guam dan peguam.

Mereka juga mendakwa bahawa SPRM perlu memperoleh perintah dari Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 46(2) Akta SPRM, dibaca bersama dengan Seksyen 126(1) Akta Keterangan, untuk mendapatkan dokumen.

Bagaimanapun, SPRM menafikan peruntukan-peruntukan tersebut dalam keadaan kes ini.

Surat tuntutan itu diserahkan kepada peguam dan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, serta Chetan & Co, pada Jumaat lepas.

Permohonan SPRM terhadap firma Chetan ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Jamil Hussin pada pagi ini.

Permohonan terhadap firma Rosli pula ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim K Muniandy esok.

Dalam afidavit berasingan yang dikemukakan untuk menyokong setiap permohonan, pegawai SPRM Sabri Latif, berkata siasatan agensi tersebut berkait rapat dengan penyelesaian yang dibuat antara kerajaan dan Goldman Sachs berkenaan isu 1MDB.

Menurutnya, Rosli Dahlan Saravana Partnership dilantik sebagai penasihat guaman kepada 1MDB dan terlibat dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian penyelesaian yang didakwa dijalin dengan Goldman Sachs pada 18 Ogos 2020.

Jelasnya, Chetan & Co juga adalah peguam bagi Goldman Sachs.

Minggu lalu, Bloomberg melaporkan bank pelaburan Amerika Syarikat itu mengheret Malaysia ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London berhubung pertikaian perjanjian penyelesaian yang dipersetujui ketika bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkuasa, bagi menyelesaikan isu bond 1MDB bernilai USD6.5 bilion.

Jumaat lalu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah mengeluarkan kenyataan mengatakan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak diberi kuasa oleh undang-undang untuk merampas dokumen di firma guaman.

Katanya, baik seksyen 31(1) Akta SPRM atau seksyen 80 Akta Cukai Pendapatan tidak memberikan kuasa kepada kedua-dua agensi tersebut untuk mendapatkan “bahan dan maklumat yang dilindungi”. -Media Perpaduan