Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN serius dan mahu projek tebatan banjir dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperuntukkan dana besar bagi membiayai projek tebatan banjir, iaitu mencecah RM22 bilion.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, projek berimpak tinggi jangka panjang itu amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, pendirian kerajaan bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

“Tahun hadapan, sejumlah 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos RM11.8 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.

Antaranya, Rancangan Tebatan Banjir (RBT) di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Selain itu, RBT Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.

Anwar menjelaskan, surat setuju terima bagi 24 projek dijangka dikeluarkan tahun ini, mulai Oktober melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion, manakala bakinya akan dikeluarkan pada suku pertama 2024.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak. -Media Perpaduan