Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

REJIM Israel tidak berhak menyekat segala bentuk saluran bantuan kemanusiaan dari negara luar kepada penduduk Palestin.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, umat Islam di Malaysia menggesa tidak terus membisu membiarkan rakyat Palestin terus ditindas kekejaman Zionis.

“Kita menggesa dunia untuk melihat dan bukakan mata, jangan pekakkan telinga. Kalau Israel boleh menyekat makanan, elektrik dan pelbagai lagi untuk rakyat Palestin, kita perlu sekat Israel daripada apa sekali pun.

“Saya menyeru kepada semua kepimpinan negara Islam di seluruh dunia, lakukan betul-betul dan sekat jualan minyak pada mana-mana negara yang menyokong Israel.

“Cukup… cukuplah sudah 75 tahun rakyat Palestin ditindas dan tidak diberikan hak mereka untuk tinggal di tanah mereka dan ini masanya kebangkitan rakyat Palestin bersama seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Pekarangan Masjid Negara hari ini menjadi lokasi ribuan rakyat berbilang kaum yang bersolidariti terhadap rakyat Palestin yang sedang sengsara di Gaza.

Himpunan yang berlangsung selepas solat Jumaat itu bertujuan membantah kekejaman serangan Zionis.

Justeru, Dr Akmal menegaskan, momentum himpunan ini dapat diteruskan agar dunia tahu bahawa suara rakyat Malaysia tidak akan berkompromi dalam menuntut hak kebebasan rakyat Palestin.

“Ini menunjukkan bukannya soal isu politik tapi hak kebebasan untuk rakyat Palestin. Kita tidak berkompromi menyakiti rakyat Palestin kerana bermakna menyakiti kita semua. Tidak ada kompromi dan kita akan lawan sampai ke titisan darah terakhir.

“Kita tidak mahu gencatan kerana gencatan hanya sementara dan kita hendak hak rakyat Palestin diberikan secara kekal dan dibenarkan hidup di tanah mereka.

“Cukup… cukuplah gencatan. Gencatan ini hanya waktu rehat bagi tentera Israel tetapi kita mahukan kedamaian, hak rakyat Palestin perlu diserahkan pada mereka,” katanya.

Media melaporkan lebih 1,000 rakyat Palestin maut dalam serangan udara yang dilancarkan Israel ke atas Gaza baru-baru ini.

Daripada jumlah berkenaan, sebahagian mangsa merupakan golongan wanita dan kanak-kanak. –Media Perpaduan