Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu maklum balas Polis Antarabangsa (Interpol) yang berpusat di Lyon, Perancis berhubung permohonan notis merah membabitkan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Muhammad Adlan Berhan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menghantar permohonan tersebut kepada Interpol selepas mendapat dokumen diperlukan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Oktober lalu, lapor Utusan Malaysia.

“Bagaimanapun, kita sedang menunggu jawapan Interpol di Lyon. Kita percaya ia (notis merah) itu akan dikeluarkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Pada 29 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, permohonan notis merah Interpol ke atas dua individu termasuk Muhammad Adlan masih dalam proses dilengkapkan.

Beliau berkata, terdapat beberapa isu teknikal yang kini masih dalam proses dikemas kini SPRM.

“Apabila kami dapat lengkapkan ia (notis merah Interpol) kami akan buat permohonan rasmi kepada Interpol kembali,” katanya.

Bulan lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Sebelum ini, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati kedua-dua individu meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lalu, dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini. –Media Perpaduan