Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SERAMAI 67,772 bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) di Kelantan dikenal pasti sebagai miskin dan miskin tegar, sekali gus yang tertinggi di Semenanjung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mengikut rekod sehingga 11 September lalu, jumlah yang direkodkan bagi KIR miskin di Kelantan ialah seramai 57,355 orang.

Beliau berkata, sebanyak 10,417 jumlah KIR miskin tegar di negeri itu, lapor BH.

“Oleh demikian, kita minta semua ketua jabatan dan agensi dapat sama-sama melihat perkara ini dengan serius serta mendahulukan faktor kesejahteraan rakyat dalam apa jua perancangan pembangunan projek.

“Ia adalah seiring dengan hasrat penubuhan Kerajaan MADANI iaitu Menokhtahkan Kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Fadillah berkata, Kelantan adalah sebuah negeri yang strategik, mempunyai sempadan darat negara, hasil sumber asli di darat dan laut yang banyak serta rakyat yang majoritinya Melayu yang dikenali sentiasa gigih bekerja serta pandai berniaga.

“Bagaimanapun, berdasarkan pencapaian semasa, Kelantan adalah di antara negeri yang agak perlahan dari segi pembangunannya. Ia adalah cabaran yang besar bagi pemerintah negeri mahupun Persekutuan untuk memastikan negeri ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Perancangan pembangunan amatlah penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” katanya. -Media Perpaduan