Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HIMPUNAN Solidariti untuk Palestin akan digerakkan pada 13 Oktober ini selepas Solat Jumaat bertempat di Surau Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pemuda Kerajaan Perpaduan menerusi kenyataan bersama 15 pertubuhan belia lain berkata, himpunan itu sebagai menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin.

“Kami menjemput seluruh anak muda dan rakyat Malaysia serta pimpinan negara dan masyarakat untuk bersama-sama pada hari tersebut bagi menyatakan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang dizalimi,” menurut kenyataan itu.

Pemuda Kerajaan Perpaduan juga menyeru komuniti antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk berlaku adil dalam menanggapi pertempuran sejak 7 Oktober lalu.

Jelasnya, warga dunia perlu mencari punca sebenar konflik tersebut dan tidak semata mata menuding jari kepada rakyat Palestin yang memperjuangkan hak asasi dan kemerdekaan tanah air mereka.

“Anak Muda Malaysia juga menggesa agar semua negara dan warga dunia yang bertamadun dan berperikemanusiaan agar menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel yang secara tidak langsung menidakkan keabsahan Palestin sebagai negara yang merdeka dan dizalimi.

“Kami juga menyeru agar Kerajaan Malaysia segera menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin.

“Kami menggesa agar Majlis Keselamatan PBB bertindak dengan segera bagi menghentikan penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin yang bergolak,” katanya.

Selain Pemuda Kerajaan Perpaduan, turut terangkum dalam kenyataan bersama itu ialah Majlis Belia Malaysia (MBM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Turut bersolidariti Gerakan Belia 4B Malaysia (4B Malaysia), Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA), Majlis Belia India Malaysia (MIYC), Pertubuhan Demokrat Sosial (DEMUDA) dan Global Peace Mission (GPM) serta Majlis Belia Perlis, Perak, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan. -Media Perpaduan