Sorting by

×

SEBANYAK RM37.8 bilion (AS$8 bilion) jumlah pelaburan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti 10 gigawatt di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ianya menjadi realiti apabila termeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Abu Dhabi Future Energy Company (Masdar) yang dimiliki oleh Mubadala Investment Company, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia adalah salah satu MoU yang dimeterai ketika lawatan kerja julung kalinya ke UAE selepas MIDA memeterai perjanjian dengan UAE International Investment Council (IIC) berhubung kerjasama penggalakan dalam pelaburan.

“UAE adalah rakan dagang kedua terbesar di rantau ini, namun masih banyak ruang untuk dipertingkat.

Penghasilan utama kali ini adalah pemeteraian dua MoU bersama mereka.

“Saya percaya persefahaman dan persetujuan yang dicapai akan membuka lembaran dimensi baharu atas dasar dan pendekatan keuntungan bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Anwar berkata, Majlis Perniagaan Malaysia-UAE turut diaktifkan semula dengan Malaysia diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz manakala di pihak UAE adalah Naib Presiden Mubadala Energy, Rashed Albooshi.

Jelasnya, pelaburan itu dibuat kerana dalam perbincangannya bersama Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zahed Al Nayan, Malaysia dilihat sebagai rakan strategik penting kepada UAE.

“Kita komited tingkatkan perkongsian strategik Malaysia-UAE meliputi semua bidang kerjasama dan boleh berkolaborasi untuk menerokai pasaran Afrika.

“Ini termasuk bidang tenaga boleh baharu, pelaburan strategik yang lain bagi memudah cara pelaburan dari pelabur-pelabur, keterjaminan makanan, Malaysia sebagai Pusat Data dan kecerdasan buatan (AI) kerjasama dengan Mohamed bin Zayed University of Artifical Intellegence,” katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada UAE sebagai tuan rumah kepada Persidangan Negara Ahli ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 28), di Dubai yang berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember ini.

“Malaysia menyokong misi UAE untuk COP28, mengukuhkan kerjasama global bagi mempercepat pelaksanaan Perjanjian Paris dalam usaha bersama untuk menangani impak perubahan iklim.

Malaysia juga menyokong penuh kepemimpinan Presiden COP28, Dr. Sultan Ahmed Al-Jaber.

“Rantaian makanan dan pertanian sebagai salah satu agenda utama di COP28 adalah langkah paling tepat yang seterusnya dapat menjamin keterjaminan makanan global,” katanya.

Anwar mengakhiri lawatan kerjanya dengan merakamkan penghargaan kepada UAE kerana turut memainkan peranan utama dalam mengeratkan hubungan akrab dan baik antara kedua-dua negara, serta menjemput Presiden UAE untuk lawatan ke Malaysia. -Media Perpaduan