Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

UTAMAKAN rakan negara serantau dalam membantu krisis berkaitan makanan yang dihadapi negara masing-masing termasuk isu kekurangan bekalan beras.

Itulah kesepakatan yang dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara anggota ASEAN turut bersepakat untuk memberi kerjasama kepada Malaysia dalam mengatasi krisis berkaitan makanan.

“Kerjasama antara ASEAN misalnya kalau kita menghadapi masalah beras, negara anggota ASEAN akan mengutamakan sesama ASEAN terlebih dahulu.

“Vietnam, Kemboja dan Thailand juga menyatakan sebarang permintaan baharu penambahan import dan sebagainya, mereka akan mempertimbangkan.

“Begitu juga hubungan kita dengan China, tadi pihak kastam China hendak mencari jalan bagaimana mempermudahkan dagangan antara ASEAN dengan China. Begitu juga Jepun dan Korea Selatan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat dan pertemuan bersama Kemboja dan China sempena AMAF di ibu negara, hari ini.

Mengulas mengenai sesi AMAF yang berlangsung sejak 2 Oktober, Mohamad berkata, mesyuarat berkenaan telah berlangsung secara lancar serta mengikut agenda yang dijadualkan dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakannya.

Malaysia menjadi tuan rumah AMAF ke-45, dalam usaha memperkukuhkan kedudukan ASEAN sebagai “bakul makanan dunia” selain memacu kerjasama lebih erat antara negara anggota bagi memelihara keterjaminan makanan di rantau ini.

Negara anggota ASEAN yang terdiri dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam bersama China, Jepun dan Korea Selatan. -Media Perpaduan