Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PENGERUSI Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin boleh memanggil sesiapa sahaja sama ada peringkat menteri atau pegawai yang berkaitan bagi mendapatkan kerjasama berhubung berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementeriannya memberi jaminan sedia memberi kerjasama kepada PAC di Parlimen.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan sama ada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah hadir memberikan keterangan kepada PAC.

“Kelazimannya pihak PAC akan berhubung terus dengan menteri atau individu yang berkaitan untuk dipanggil selain wakil daripada Tentera Laut Diraja Malaysia sendiri,” katanya selepas merasmikan Program Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi Pertahanan di Sekolah Sultan Alam Shah, di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan PAC akan memanggil beberapa pegawai kanan kementerian termasuk menteri dan bekas menteri berhubung siasatan kemajuan LCS iaitu antara empat laporan yang dijadual dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat bermula 9 Oktober ini.

Sesi prosiding dijadualkan hari ini bagi membolehkan panel PAC mengetahui mengenai segala perkembangan projek bernilai berbilion ringgit itu untuk tempoh Jun hingga Ogos lalu.

Antara individu yang akan dipanggil ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Isham Ishak dan wakil syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. –Media Perpaduan