PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan segala tohmahan yang dilemparkan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendakwa, prestasi bekas Ketua Umno Bahagian Bentong itu yang tidak memuaskan dan mempunyai rekod yang tidak baik.
“Calon Bebas ni saya ingat jangan percayalah sebab trek rekodnya tak bagus.
“Tak bagus tu maksudnya ada dia melakukan perkara-perkara yang tak elok dan telah mendapat perhatian pihak berkuasa dan pihak berkuasa telah bertindak,” katanya ketika ditemui di Bentong Rumah Kelab Dayabudi di Kuarters Kilang Sawit Felda Kemasul, lapor MalaysiaGazette.
Wan Rosdy berkata, segala tohmahan calon Bebas itu hanyalah untuk menghasut pengundi di Pelangai untuk membenci Umno dan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai 7 Oktober ini.
“Orang macam ni saya fikir tak payah dengar cakap dia. Macam tuduhan 30 peratus merupakan reka cipta dengan tujuan rakyat percaya.
“Ini untuk mewujudkan suasana dan perasaan tak puas hati dalam kalangan sesama kita.
“Kadang-kadang kita kena tengok siapa yang bercakap, kalau kaki auta, kaki autalah.” katanya lagi.
Sebelum ini, Haslihelmy menerusi hantaran di Facebook, mendakwa terdapat rundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) berkaitan kuota 30 peratus jawatan lantikan kerajaan akan diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).
Menyifatkan ia sebagai tuduhan liar yang tidak berasas, Wan Rosdy berkata, setakat ini belum ada sebarang pelantikan baharu sebaliknya semua lantikan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) serta ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilantik masih kekal. – Media Perpaduan.