Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELANTIKAN Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani mengiktiraf kemampuan wanita dalam memikul tanggungjawab sektor penting perkhidmatan awam.

Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pusat, Noraini Nordin menyifatkan, pelantikan tersebut melakar satu lagi sejarah gemilang buat wanita di negara ini.

Beliau berkata, bagi wanita PKR, ia bukan sahaja satu kebanggaan kepada kaum wanita seluruhnya, malah memperlihatkan pengiktirafan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempercayai kemampuan wanita mendepani cabaran menerajui sektor perkhidmatan awam.

“Beberapa hari sebelum ini, wanita Malaysia turut mencatatkan sejarah dalam dunia perundangan negara apabila Datuk Almalena Sharmila Johan dilantik sebagai Peguam Cara Negara dan Datuk Suzana Atan diumumkan sebagai Peguam Cara Negara II yang baharu.

“Dengan tiga pelantikan hanya dalam tempoh tidak sampai seminggu, ia adalah petanda gemilang kian terbentang untuk kaum wanita di negara ini mencipta lebih banyak kegemilangan pada masa hadapan.

“Wanita PKR yang dipimpin oleh Fadhlina Sidek akan terus memainkan peranan dalam memberikan galakan dan rangsangan agar lebih ramai kaum Hawa di negara ini berjaya dalam kerjaya masing-masing dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Anis Rizana sebagai Ketua Pengarah Kastam wanita yang pertama di dalam sejarah jabatan itu.

Anis Rizana yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan dilantik menggantikan Datuk Zazuli Johan yang bersara.

Mohd Zuki berkata, Anis Rizana berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan import eksport, penyelidikan dan pembangunan dasar, ekonomi, pengurusan dan kewangan.

Beliau telah berkhidmat selama 29 tahum dalam perkhidmatan awam dengan jawatan pertama yang disandangnya adalah sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Kewangan, Kementerian Kewangan pada 1994.

Anis Rizana berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Western Michigan University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). -Media Perpaduan