Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur pemimpin muda DAP Howard Lee Chuan How agar tidak mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memberi pandangan berkaitan politik.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, teguran itu sekadar peringatannya kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur bagi mengelakkan fitnah dan salah tafsir, sekali gus mencetus polemik tanpa henti pada masa akan datang.

“Saya sudah menghubungi YB (Yang Berhormat) Howard untuk tidak lagi mengulangi perbuatan memetik atau merujuk ayat-ayat al-Quran dalam memberi pandangannya dalam hal berkaitan politik.

“Ini untuk mengelakkan fitnah dan disalah tafsir sehingga mencetus polemik yang tidak berkesudahan. Walaupun perbuatan DAP ini pernah ‘dihalalkan’ oleh kepemimpinan Pas waktu bersama dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Baru-baru ini, Howard Lee dalam video di aplikasi TikToknya, memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain.

Howard Lew kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan.
Jelasnya, pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, pertubuhan Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap Howard Lee supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa ‘menghina Islam’.

Semalam, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain mengesahkan Howard Lee akan diambil keterangannya sebaik pulang dari luar negara. -Media Perpaduan