DATUK Seri Mohamad Zaini Salleh menafi menjadi penaja calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Malah, pemangku Ketua Umno Bahagian Bentong itu mengakui tidak pernah berbincang dengan Haslihelmy mengenai perkara itu.
“Saya tak pernah dihubungi oleh dia untuk berbincang mengenai tindakan menjadi calon Bebas.
“Itu keputusan peribadi dia, tidak ada kaitan dengan saya dan saya tidak menaja dia untuk masuk (bertanding) dalam PRK,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan Haslihelmy mendakwa punca dia menawarkan diri untuk bertanding disebabkan kecewa selepas Barisan Nasional (BN) memilih Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon untuk bertanding di PRK DUN Pelangai.
Mohamad Zaini menegaskan kenyataan dikeluarkan Haslihelmy itu adalah mengelirukan dan tidak tepat sama sekali mengenai pemilihan calon BN untuk PRK tersebut.
“Dia (Haslihelmy) cakap punca dia bertanding sebab kecewa, kononnya saya patut jadi calon BN.
“Perkara itu tidak betul, ia satu fitnah yang berniat jahat dan menjejaskan reputasi saya sebagai pemangku ketua Bahagian,” katanya.
Beliau berkata, tindakan bekas ahli Umno Cawangan Kampung Sum-sum, Janda Baik itu adalah keputusan peribadi. -Media Perpaduan