Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAN Sri Abdul Hadi wajar diambil tindakan berhubung kenyataan mengelirukan mengenai ‘melepas dan membebaskan’ (DNAA) dalam Islam.

Perkara itu digesa Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang berkata, pihak berkuasa agama negeri seharusnya bertindak ke atas Abdul Hadi agar umat Islam di negeri masing masing tidak terkeliru dengan pendapat peribadi Presiden PAS itu.

“Bagi saya, pihak berkuasa agama negeri seharusnya mengambil tindakan terhadap Hj Hadi sebab ini satu tuduhan apabila dia menyatakan DNAA tidak wujud dalam Islam, sedangkan sebahagian besar enakmen tatatacara jenayah syariah wujud DNAA.

“Bagi membersihkan nama baik pihak berkuasa agama negeri, termasuk Terengganu, khususnya Ke Bawah Duli Tuanku (ketua agama Islam negeri) dan raja raja, seharusnya pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan terhadap Presiden PAS ini,” katanya dalam klik video TikTok.

Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata, Abdul Hadi tidak cermat dalam mengeluarkan hujah atau sememangnya ingin mengelirukan umat Islam Malaysia dalam isu DNAA tersebut.

Tegasnya, amat tidak wajar Abdul Hadi yang mempunyai kedudukan di peringkat antarabangsa mengeluarkan pendapat tidak sejalan dengan undang undang syariah di negaranya sendiri.

“Apa yang mengejutkan Presiden PAS berkata DNAA itu tidak ada dalam Islam. Ini satu perkara mengejutkan apabila seorang ulama yang mempunyai kedudukan sangat besar, pernah mewakili negara di dunia Arab dan pernah berada di peringkat antarabangsa dalam Kesatuan Ulama Dunia tiba tiba membuat kecaman menyatakan dalam Islam tidak ada DNAA.

“Sedangkan apa yang dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Agama bahawa DNAA ini wujud dalam kebanyakan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri, di sebahagian besar negeri termasuk di Terengganu.

“Pada saya kenyataan Abdul Hadi itu memberikan gambaran bahawa seolah olah enakmen tatacara jenayah syariah negeri ini tidak Islamik apabila adanya DNAA itu,” katanya. -Media Perpaduan