Sorting by

×

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) komited memastikan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh berjalan mengikut jadual progres yang ditetapkan.

Timbalannya, Adam Adli Abd Halim berkata, ianya bagi memastikan Kelantan dapat menganjur Sukan Malaysia (Sukma) buat julung kalinya pada tahun 2028.

“Tinjauan KBS ke atas kerja-kerja pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh.

“Akan sentiasa dipantau agar siap mengikut jadual dan Kelantan sedia menjadi tuan rumah untuk SUKMA 2028,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Adam Adli turut berkongsi pautan Facebook rasmi KBS yang memaparkan Ketua Setiausaha KBS, Tan Sri Dr. Nagulendran Kangayatkarasu mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal ketika melawat tapak pembinaan, semalam.

“Meninjau perkembangan Projek Pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau. Pembangunan kompleks sukan yang berkeluasan 160.366 ekar membabitkan beberapa venue utama seperti stadium, arena tertutup, stadium hoki, pusat akuatik dan pusat skuasy.

“Taklimat perkembangan projek telah disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia dan dihadiri wakil SUK Kelantan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM,” menurut pengendali Facebook KBS.

KBS berkata, antara dibincangkan termasuk pembangunan fasiliti sukan di Kelantan, kerjasama program belia dan sukan serta penganjuran SUKMA 2028.

Pada Mac lalu, Kelantan bersetuju menangguhkan keputusan KBS yang memutuskan negeri itu menjadi tuan rumah Sukma 2028.

Menurut Menteri KBS, Hannah Yeoh,
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan ketika itu, Wan Roslan Wan Hamat, bersetuju untuk negeri itu menganjurkan edisi 2028, yang memberikan masa tambahan bagi membuat persediaan dan pembinaan fasiliti sukan di Kelantan.

Hannah juga yakin kemampuan Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma lima tahun lagi kerana kerajaan mempunyai tempoh yang mencukupi untuk melaksanakan semua projek pembinaan fasiliti sukan, selain persetujuan kerajaan negeri berhubung perubahan masa penganjuran. -Media Perpaduan