Sorting by

×

MALAYSIA berpandangan isu Palestin perlu diperhalusi dengan serius dan pembelaan yang adil perlu dilaksanakan.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dan terhadap agenda OIC, khususnya mengenai Al-Aqsa dan Palestin.

“Isu Palestin sentiasa menjadi perjuangan dan dokongan Malaysia sejak dahulu hingga kini.

“Dalam mesyuarat ini, saya telah mengambil peluang untuk menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan menyeru agar keluarga besar OIC serta masyarakat antarabangsa menentang penindasan berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut hantaran itu, Zambry telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Enam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78

Mengenai tindakan dunia mengutuk Israel, Zambry berkata, ianya masih tidak mencukupi malah semua pihak perlu mencari jalan untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan negara itu yang merdeka.

“Malaysia berpendirian bahawa Jawatankuasa ini perlu memberi tekanan yang sistematik dan berterusan kepada Israel atas jenayahnya terhadap kemanusiaan, diskriminasi dan penindasannya yang kejam dan dasar apartheidnya”.

Justeru, beliau berharap semua pihak menyokong kerja dan mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam memastikan nasib rakyat di Palestin dijaga dengan baik. -Media Perpaduan