KESTABILAN politik semasa selain ekosistem rantaian bekalan yang kukuh terus menjadi daya penarik pelabur asing datang ke Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, situasi politik Malaysia tidak lagi menjadi kebimbangan utama dalam kalangan bakal pelabur.
Tegasnya, karisma kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan penting kejayaan Malaysia memikat pelaburan syarikat-syarikat global ke dalam negara.
“Perdana Menteri kita adalah jurujual terbaik Malaysia. Beliau memudahkan kerja saya,” katanya berseloroh pada media bersama delegasi media Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, New York.
Menjelas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pengaruh dan kerja keras Perdana Menteri begitu jelas semasa menghadiri beberapa penglibatan antarabangsa termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini dan lawatan kerja yang begitu padat (selama 14 jam) ke Nanning, China hanya beberapa hari lalu.
“Beliau turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kuching dan kemudian segera terbang ke Nanning dan tiba di sana pada jam 4 pagi.
“Dalam lawatan singkat Anwar ke Nanning, Perdana Menteri menghadiri beberapa acara dan bertemu dengan Perdana Menteri China Li Qiang, pertemuan kali ketiga bagi kedua-dua pemimpin untuk tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri apabila tiba di New York pada Rabu untuk menghadiri UNGA,
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan Fortune 500 Companies, dan sesi penglibatan dengan Invest Malaysia New York.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari AS seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International, dan Procter & Gamble (P&G). -Media Perpaduan