MENGGELAR Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kerajaan NATO’ (No Action Talk Only) menunjukkan sikap sebenar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghentam kerajaan mengikut citarasa dirinya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim membidas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang sering membangkitkan isu yang telah pun diperjelaskan banyak kali oleh kepimpinan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
“Soal NATO ini eloklah Saddiq jangan hanya cerminkan kepada perkara mengikut selera beliau.
“Cerminkan juga kepada dasar kebajikan rakyat dikemukakan menerusi Belanjawan 2023 yang lepas dan inisiatif sedang berjalan dalam menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah dan keperluan asas rakyat termasuk sekolah dan fasiliti kesihatan, bekalan air bersih, pemulihan ekonomi pascapandemik dan transisi tenaga yang bakal bermula kelak,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam hantaran itu, Adam Adli berkata tiga perkara sering dibangkitkan Ahli Parlimen Muar itu membabitkan soal peruntukan kepada pembangkang, pengisytiharan harta anggota Kabinet dan pengguguran kes rasuah, sudah banyak kali dijelaskan sama ada di dalam atau luar Parlimen.
Beliau berkata dalam soal pengisytiharan harta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak Januari menyatakan ketegasannya dan mengarahkan agar mekanisme lebih telus dan menyeluruh disiapkan, bukan sekadar isytihar tanpa format khusus.
“Tidak sekadar kenyataan media, ia disepakati menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri pada Julai lepas,” katanya.
Mengenai pengguguran kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula, Adam Adli yang merupakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, ia telah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen, semalam.
“Pengguguran kes mahkamah tentu sekali saya yakin merujuk kepada kes TPM (Timbalan Perdana Menteri) berbanding kes Pagoh.
“Ianya dijawab dalam parlimen secara terperinci oleh Yang Berhormat Azalina atas kapasiti sebagai menteri menjaga undang-undang dan reformasi institusi, ditandai dengan komitmen kerajaan hari ini untuk memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Malah isu DNAA (melepas tanpa membebaskan) TPM juga telah dibawa kepada perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, selain bakal dijawab sendiri Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat hari ini,” katanya.
Berhubung peruntukan kepada pembangkang, Adam Adli berkata perkara itu berulang kali diingatkan untuk mereka memulakan rundingan bersama kerajaan.
Namun, sehingga kini masih belum disambut selain ia digunakan sebagai modal untuk bercakar dalam persidangan di Dewan Rakyat serta berkemungkinan sebagai modal membohongi rakyat di kawasan masing-masing seolah-olah menunjukkan Kerajaan Perpaduan ini zalim.
Sementara itu, Adam Adli yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan turut membidas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU yang juga ahli parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa kerajaan sebagai pengamal ‘pork barrel politic’.
“Entah dari mana datang idea politik tong babi dinyatakan beliau sedangkan kawasan beliau iaitu Machang sendiri adalah salah sebuah kawasan yang turut menerima peruntukan besar mencecah RM1.44 billion buat negeri Kelantan dalam bentuk infrastruktur asas termasuk jalan raya dan jambatan.
“Belum lagi dikira sekali dengan komitmen penyelesaian isu bekalan air turut mencecah bilion ringgit,” katanya. -Media Perpaduan