Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) sekali lagi memberi jaminan untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sokongan itu akan menjangkau sehingga Pilihan Raya Umum akan datang sekali gus mewujudkan kestabilan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan mentadbir dengan lebih fokus.

“Kami memberi anda (Anwar) sokongan penuh dan memiliki Kerajaan Persekutuan yang stabil sehingga pilihan raya seterusnya, ” ucapnya di Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di Kuching, malam tadi.

Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar sebagai tetamu kehormat di acara itu.

Walaupun Sarawak dan Sabah menuntut beberapa perkara khususnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Abang Johari menegaskan, ianya tidak bererti kedua-dua negeri itu termasuk Semenanjung Malaysia tidak boleh bekerjasama demi Malaysia.

“Penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah bukti perbezaan tidak menjadi penghalang ke arah perpaduan,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan GPS di Sarawak turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah menunjukkan kesediaan mengembalikan hak-hak Sarawak dan juga Sabah, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Menurutnya, perkara itu adalah kehendak keseluruhan rakyat Sarawak supaya hak dan keistimewaan Sarawak dalam Perlembagaan dan MA63 terus dihormati dan dilaksanakan seperti dipersetujui oleh para pemimpin kemerdekaan pada tahun 1963.


ADS

“Sarawak mungkin dituduh bersikap kedaerahan dengan tuntutan-tuntutan tersebut tetapi rakyat Sarawak hanya mahu hak Sarawak dan tidak berniat untuk merampas hak orang lain,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari menegaskan, tarikh 16 September dan 31 Ogos sama penting kerana kedua-kedua tarikh itu saling berkait dari segi kepentingannya kepada kewujudan negara ini.

“Secara peribadi, saya kira tidak perlulah kita berdebat panjang lebar mengenai tarikh-tarikh ini tetapi memberi fokus kepada usaha penyatuan wilayah-wilayah dan penyatuan bangsa di samping memastikan pembangunan dilaksanakan sama rata di setiap wilayah. -Media Perpaduan