Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEJUMLAH RM3 juta peruntukan khas diberikan kepada pengkarya seni di Sabah dan Sarawak dalam usaha menggalakkan penerbitan program berkualiti di kedua-dua negeri tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, peruntukan khas itu akan diagihkan menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) juga bertujuan
meningkatkan pembangunan bakat serta kemahiran, merangsang aktiviti dan inovasi serta mewujudkan peluang pekerjaan di kedua-dua negeri itu.

Serentak itu, katanya, diskaun 20% turut diberikan kepada pengkarya kandungan di Sarawak dan Sabah untuk sewaan dan kemudahan fasiliti penggambaran Finas selama enam bulan mulai hari ini.

“Sekiranya pengkarya kandungan menghasilkan karya sehingga mampu meraih anugerah terutama di peringkat antarabangsa, kita bersedia memberi lebih banyak diskaun, termasuk 20% lagi selepas daripada itu.

“Sehubungan itu, saya berharap dana RM3 juta serta diskaun yang diberi dapat memberikan suntikan semangat dan menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak kandungan lebih berkualiti dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Seminar “Fast Track: How To Be A Content Creator” serta pembukaan Studio Sound Stage Finas Sarawak, di Auditorium Finas, di Kuching, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Finas, Kamil Othman. – Media Perpaduan

Sumber gambar: Facebook Fahmi Fadzil