MEMILIH 16 September untuk mengadakan demonstrasi jelas menunjukkan pembangkang tidak menghormati sambutan Hari Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Hari Malaysia merupakan hari menjiwai kenegaraan yang sarat dengan semangat saling menghormati dan kepatuhan kepada undang-undang.
Tegasnya, penganjuran ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ membuktikan pembangkang tidak mempunyai nilai penghormatan terhadap amalan hidup toleransi, perpaduan antara kaum dan agama di negara ini.
“Mereka juga tidak menghormati kelompok daripada rakan-rakan kita di Sabah, Sarawak, yang mana tarikh itu amat penting sekali kepada mereka.
“Sebaiknya, jangan pilih 16 September kerana itu tarikh sambutan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui media di Putrajaya, semalam.
Saifuddin berkata, polis mengikuti rapat perkembangan penganjuran perhimpunan tersebut dan akan bertindak mengikut undang-undang.
‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ bakal berlangaung pada Sabtu ini di kawasan berdekatan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. -Media Perpaduan