Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia memaknai kemerdekaan dengan jiwa dan pemikiran yang merdeka.

“Segala kuasa yang ada di peringkat kecil kampung sehinggalah ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) mesti melahirkan jiwa yang merdeka,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata demikian di hadapan 8,000 hadirin.

“Saya yakin kalau semangat ini ada, Malaysia akan muncul sebagai negara hebat dan gagah di Asia Tenggara,” katanya.

“Kesatuan dan perpaduan yang kita pupuk ini untuk apa? Untuk dijamin masa depan melalui dasar dan pelaksanaan yang dilakukan pada masa sekarang.”

Selaras dengan itu beliau turut memberikan penekanan terhadap prasarana sekolah dan memberi jaminan bahawa kemudahan infrastruktur akan diperbaiki menjelang bulan Oktober

“Kemerdekaan fikiran, pemikiran jiwa yang merdeka itu tidak hanya kagum dengan gedung raksasa, jiwa merdeka itu dengan memberi pengertian apa itu keadilan bagi semua rakyat, bukan bagi beberapa kalangan elit terpilih.

“Sebab itu kita bangga kerana sebelum akhir tahun ini, secara khususnya Oktober ini, semua sekolah di negara kita, sekolah kebangsaan, sekolah Cina, Tamil, Arab, semua tanpa kecuali, akan mempunyai prasarana asas yang munasabah dengan bumbung dan tandasnya,” katanya.