Sorting by

×

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mahukan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia mencegah pembakaran terbuka.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menangani masalah jerebu merentasi sempadan.

“Sebagai inisiatif mencegah jerebu merentas sempadan, saya telah mengemukakan surat kepada syarikat perladangan Malaysia, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu merentas sempadan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa usaha lain sedang diambil dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan berikut adalah langkah – langkah yang sedang diambil:

pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 2 April 2023 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat.

pengaktifan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi negeri terbabit pada 29 Mac 2023

  • mempertingkatkan kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah oleh Pihak Berkuasa Negeri
  • memperkasakan pemantauan komuniti melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka
  • mempertingkatkan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan program penyertaan komuniti sebagai tindakan pencegahan
  • pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Langkah – langkah ini penting memandangkan Malaysia masih berhadapan dengan Monsun Barat Daya.

MET Malaysia juga telah membangunkan Fire Danger Rating System (FDRS) bagi memantau kebakaran hutan dan tanah gambut yang digunakan oleh semua negara ASEAN sejak 2003.