Seorang penganalisa politik meramalkan kemenangan Amanah di dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram berdasarkan faktor etnik pengundi.
“Saya berpandangan PRK Pulai dan Simpang Jeram adalah straight forward, PH yang diwakili Parti Amanah Negara (AMANAH) mempunyai peluang besar untuk keluar sebagai pemenang,” kata Mohd Yusri Ibrahim, penganalisa politik dari Universiti Malaysia Terengganu.
“Maksudnya, tanpa pengaruh faktor istimewa lain, PH mudah untuk menang di kerusi majoriti pengundi Melayu bawah 65 peratus.”
Keyakinan beliau terhadap kemenangan Amanah di kedua-dua kawasan tersebut adalah berdasarkan tiga faktor.
“Pertama demografi pengundi yang menyaksikan etnik Cina dan India melebihi 50 peratus di Pulai dan hampir mencecah 50 peratus di Simpang Jeram.
“PH hanya perlu memujuk dan pastikan pengundi kedua-dua etnik ini keluar mengundi, kerana mereka adalah deposit tetap PH.
“Kedua, Umno masih kuat di Johor, PH-BN hanya perlu pastikan pengundi teras BN keluar dan memberi undi kepada PH.
“Kalaupun hanya separuh pengundi teras BN ini keluar dan memberi undi, PH masih berpotensi untuk keluar sebagai pemenang.
“Ketiga, PH yang diwakili arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub menang selesa kedua-dua kerusi tersebut sebelum ini, serta memilik perspektif baik daripada khalayak.”
Kedua-dua kawasan ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Yusri turut mengambil kira faktor gelombang hijau yang beliau namakan gelombang Nusi.
Beliau berkata PH hanya terlepas enam kerusi di mana majoriti pengundi Melayu adalah di bawah 65%.
Calon PH-Amanah Nazri Abdul Rahman melawan calon PN-PAS Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan di Simpang Jeram.
Suhaizan Kaiat dari PH-Amanah berdepan Zulkifli Jaafar dari PN-Bersatu dan calon Bebas, Samsudin Fauzi di Pulai.
PRK untuk kedua-dua kawasan akan berlangsung pada 9 Sept 2023 ekoran daripada kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut, allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai.