Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kempen jentera PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai turut tertumpu kepada usaha memperkukuh kesepaduan umbi parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

Calon PH Suhaizan Kaiat berkata walaupun kesepaduan antara jentera PH-BN sudah berjaya diterjemah namun penjelasan di peringkat akar umbi khususnya UMNO masih perlu diperkemas.

Dia berkata ini kerana masih ada segelintir pihak masih kurang jelas dengan dinamik politik ketika ini yang menyaksikan PH-BN menjadi sekutu membentuk Kerajaan Perpaduan sedangkan sebelum ini, kedua-duanya adalah seteru.

“Dalam tempoh berkempen ini, saya akan turun bertemu pengundi dan akar umbi terutama UMNO untuk memberi penjelasan kepada mereka dan merayu sokongan mereka.

“Di peringkat BN dan UMNO sendiri, pemimpin mereka Mohamed Khaled Nordin (pengerusi BN Johor) juga giat memberi penjelasan kepada akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas sesi ceramah di Bilik Gerakan PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Johor Bahru, malam tadi.

Suhaizan juga yakin jika kesepaduan PH-BN terus diperkukuh, kemenangan PH di kerusi Parlimen itu dapat dikekalkan dengan majoriti selesa pada PRK ini.

Terdahulu, ketika berucap pada sesi kempen itu, Suhaizan menasihati jentera PH-BN agar tidak terlalu selesa dengan jumlah majoriti yang diperoleh penyandang kerusi Parlimen Pulai Allahyarham Salahuddin Ayub pada Pilihan Raya Umum lepas.

“Kita perlu teruskan legasi Allahyarham (Salahuddin) dan tambah baik prestasi kita,” katanya.

Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di kedua-dua kerusi berikutan kematian penyandangnya iaitu Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi diadakan serentak dengan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept.