Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pihak-pihak yang mahu menukarkan kepimpinan UMNO perlu menunggu tiga tahun lagi sebelum mengambil tindakan tersebut, kata presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Semalam pun ada Solidariti Wanita UMNO pertahan Institusi Presiden, yang paling penting mesejnya ialah institusi kepimpinan UMNO ataupun institusi kepresidenan harus dikekalkan. Tapi kalau ada yang berhajat sama ada orang dalam yang dipengaruhi oleh orang luar untuk menukar kepimpinan, maka tunggulah UMNO melakukan pemilihan semula, tiga tahun akan datang.

“Kalau kumpulan itu percaya dengan sistem demokrasi dalam organisasi politik mereka, itu adalah kaedah yang lebih baik,” katanya selepas merasmikan program Belia Desa Madani@KKDW di B5 Street Market, Tampoi.

Beliau berkata demikian ekoran desakan dan suara – suara yang mahukan perubahan tampuk kepimpinan UMNO.

Desakan – desakan ini semakin memuncak ekoran prestasi UMNO yang kurang memberangsangkan di dalam pilihan raya di enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Parti tersebut bertanding 108 daripada 245 kerusi tetapi hanya menang 19 DUN.

Beliau menambah bahawa kini bukan masa mencari kesalahan pihak lain sebaliknya adalah masa untuk memperkuatkan sokongan kepada parti.

Bila menang di PRN Melaka lebih tiga perempat, tak ada siapa pun yang suruh Presiden letak jawatan dan apabila menang di PRN Johor, menang lebih dua pertiga juga tidak ada desakan begitu. Malah, tidak ada pun yang memuji Presiden pada ketika itu bila kita menang 7-0 dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Presiden tidak dipuji dan tidak diminta letak jawatan. Dalam politik ini pasti ada turun naiknya dan ketika naik tidak ada pujian tetapi ketika turun banyak pula kejian.

“Maka, kita harus tukar minda kita tentang perkara itu supaya kita sama-sama memperkukuhkan kesatuan dan solidariti dalam parti kita supaya gabungan kita dihormati oleh gabungan parti lain sebagaimana yang diperlihatkan untuk rakan kita di Sarawak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zahid yakin gabungan PH-BN akan mampu berjaya di dalam pilihan raya kecil di parlimen Pulai dan Simpang Jeram.

“Pada pandangan saya, landskap politik di Johor sangat berbeza di mana tahap kebersamaan itu lebih kukuh dan lebih kuat dan saya yakin dalam menghadapi dua PRK ini.

“Walaupun permukaan politiknya sangat licin tetapi tidak mustahil untuk kita mencapai ke kemuncak dan ini merupakan kawasan yang kita sandang sebelum ini, saya memberikan komitmen untuk jentera BN terus bekerjasama dengan jentera PH bagi menyokong calon kerajaan perpaduan negeri Johor,” kata beliau.