Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Setelah memboikot rakan parti – Gerakan – di kerusi DUN Bayan Lepas, Pulau Pinang, PAS kini menimbulkan kontroversi pasca pilihan raya negeri. Kali ini di Kedah terhadap Bersatu.

Laporan media melaporkan jumlah jawatan exco yang ditawarkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telh dikurangkan daripada lima kepada tiga sahaja.

Tiga Adun Bersatu yang akan dilantik menganggotai pentadbiran negeri ialah Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), serta Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan), laporan Berita Harian memetik sumber sebagai berkata.

Bersatu telah memenangi 11 DUN di Kedah dari lima, sebelum PRN.

“Kami sangat kecewa dan kesal apabila dimaklumkan hanya diperuntukkan tiga jawatan exco sedangkan pada penggal lalu, kami diberikan lima jawatan (exco dan juga jawatan) Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

“Kami tidak mahu apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila hanya masing-masing satu jawatan exco diberikan kepada wakil Bersatu, sedangkan kami sama-sama bekerja untuk PN di negeri terbabit,” sumber tersebut dipetik berkata.

Bilangan kerusi exco yang diperoleh juga adalah penting kerana ia menggambarkan kesepaduan kerjasama dalam kalangan parti yang menganggotai PN.

Isu ini agak genting kerana boleh menyebabkan keretakan dalam kalangan parti PN yang seterusnya akan mengakibatkan ketidakstabilan politik negeri Jelapang Padi.

Untuk rekod, meskipun PN diketuai oleh presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin, parti tersebut tidak memegang mana-mana tampuk pentadbiran mana-mana negeri di mana PN membentuk kerajaan.

Secara keseluruhan, PN memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN Kedah. Dari jumlah tersebut PAS memenangi 21 kerusi.

Majlis angkat sumpah kerajaan Kedah akan berlangsung esok.