Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang dibuat seorang individu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial – Facebook, semalam.
Setiausaha Kerja AMK Selangor, Muhammad Afif Abdullah, berkata hantaran, muat naik atau komen yang berunsur ugutan terutamanya bunuh seharusnya tidak berlaku dan tidak mencerminkan kematangan dalam berpolitik.
“Jelas sekali apa yang berlaku ini sekali gus menunjukkan tahap ketaksuban yang tinggi individu berkenaan sehingga sanggup memuat naik kata-kata sedemikian.
“Seharusnya sebagai individu yang waras, dia harus faham, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijalankan ini membabitkan negeri-negeri terbabit dan bukannya persekutuan, sekali gus apa yang dilontarkan ini mencerminkan sikap tidak matang individu berkenaan,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Shah Alam semalam.
Beliau berkata, seharusnya selepas PRN yang selesai pada Sabtu lalu, rakyat perlu berada keadaan harmoni dalam menumpu usaha ke arah pembinaan negara.
“Saya menggesa polis agar mengambil tindakan tegas dengan memastikan agar ugutan sebegini tidak berlaku lagi di masa akan datang,” katanya.
Semalam, tular tangkap layar yang memaparkan satu ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri dipercayai berkaitan PRN, baru-baru ini.
Individu itu dipercayai memuat naik komen berkenaan sebelum ia ditangkap layar dan kemudiannya menjadi tular di media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata laporan awal mengenai ugutan berkenaan dibuat di Kuala Berang, Terengganu.
Justeru katanya, kes berkenaan akan disiasat di IPD berkenan.