Pengerusi Nadwah Ulamak (NUNJI) Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan penyebaran ide Islam yang berteraskan Rahmatan Lil Alamin (RLA) sebagai naratif untuk memenangi semula masyarakat Islam di negara ini.
“Isunya adalah pergelutan di medan fikrah, siapa lebih meyakinkan dan pertembungan antara radikalisme politik Islam dan pencairan (tamyi’e) Islam dalam pemerintahan di mana pemerintah terhimpit antara kedua aliran ini.
Beliau yang juga naib presiden Amanah berkata bahawa usaha tersebut telah dimulakan pada 2018 tetapi terhenti pada tahun 2020 kerana Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tujuannya adalah jelas untuk berhadapan dalam gelanggang pergelutan fikrah dan penyebaran ide Islam yang berteraskan RLA. Namun terhenti dengan langkah Sheraton. Semua perancangan telah tersedia rapi sampai ke akar umbi dengan bajet 2020 diperuntukkan sekitar 10 juta untuk tujuan memperkenalkan RLA kepada rakyat.”
Beliau turut menjelaskan secara detail berkenaan peranan agensi di peringkat kerajaan pusat dan agensi negeri untuk menggerakan naratif RLA.
“Agensi kerajaan teras yang perlu menggerakkan dasar Madani dalam naratif Islam ialah JAKIM. Jakim punya infra yang boleh menggerakkan jentera pentadbiran Islam Persekutuan dengan syarat PMX perlu tegas dalam mengarahkan perlaksanaannya melalui Menteri yang bertanggungjawab. Ada 14 agensi di bawah Menteri Agama yang perlu menumpukan menjayakan agenda Madani secara berperancangan.
“Bahagian Dasar Jakim bertanggungjawab menyediakan keperluan kertas dan perancangan setahun program dan aktiviti untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi.”
Media Jakim, Forum Perdana, TV Hijrah dan Radio IKIM dikenalpasti sebagai media utama untuk memasarkan RLA. Townhall Maqasid pula medan untuk memperkenalkan ide Islamik Madani antara kementerian.
Di peringkat negeri pula, terdapat mekanisme Mesyuarat Majlis Islam Negeri dan Persekutuan yang dipengerusikan oleh Menteri Agama yang boleh digunakan setelah mendapat perkenan sultan.
Mujahid yang pernah menjadi Menteri Agama berkata beliau sendiri telah memperkenalkan konsep masjid RAHMAH iaitu masjid bercirikan Ramah, Aman, Harmoni, Alami dan Hormat bagi mengelak masjid menjadi medan sebaran Islam politik dan fahaman radikal.
Menurutnya usaha ini perlu diteruskan di negeri tadbiran PH-BN.
Mujahid turut menyatakan keperluan memperkenalkan semula program Duta Madani dan Duta Rahmah untuk membentuk asatizah, ahli akademik sebagai jurucakap.
Beliau turut mencadangkan penglibatan universiti dengan pemberian geran akademik untuk kajian Madani, kerusi Madani dan aktiviti pelajar berteraskan Siswa Madani seperti Siswa Rahmah yang pernah dilancarkan.
Di peringkat sekolah, Mujahid mencadangkan modul kepimpinan sekolah MyInsaniah yang diperkukuhkan dengan penjenamaan MyMadani.