Pegawai media Pakatan Harapan Ikmal Iskandar telah membuat laporan polis terhadap presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin kerana penyelewengan dalam projek 1Bestarinet.
Projek tersebut diluluskan oleh Mahiaddin ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan di bawah pentadbiran BN.
“Saya mendapati hantaran berita tersebut telah mendedahkan berkenaan isu penyelewengan yang berlaku di dalam Projek 1Bestarinet yang telah dijalankan oleh YTL Corporation Berhad (YTL) semasa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan.”
Ikmal berkata demikian berdasarkan ciapan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam dan laporan berita di Malaysia World News dan Buzzkini.
“Berita itu seterusnya mendedahkan bahawa projek 1Bestari Net ini telah gagal mencapai objektif meskipun berbillion Ringgit Malaysia telah dibayar kepada YTL. Projek ini juga menelan belanja sebanyak RM4.6 billion ini jauh lebih tinggi daripada kos yang sepatutnya hanya bernilai RM 1 billion.
“Pendedahan juga menunjukkan bahawa pihak YTL telah membina tiang pencawang di atas tanah milik kerajaan tanpa membayar caj utiliti & sewaan tapak yang sepatutnya di bayar kepada kerajaan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit.”
Berdasarkan pendedahan-pendedahan tersebut saya percaya projek 1Bestarinet ini telah melanggar prosedur dan tatakelola perolehan kerajaan akibat daripada berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang meluluskan projek tersebut pada tahun 2012.