Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kefahaman presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tanya Hadi, kamu faham ke Perlembagaan Malaysia? Yang menentukan kedudukan Putrajaya adalah ahli parlimen, malah parti Sabah dan Sarawak juga menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan.
“Tidak salah Pas mahu meroyan. Biarkan dia meroyan, namun saya nak tanya kamu nak memerintah buat apa? Masalah air di Kelantan pun tidak selesai, sedangkan saya yang baru beberapa bulan sudah meluluskan dengan segera RM500 juta untuk masalah air di Kelantan,” kata Anwar yang juga adalah Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani di Tanah Merah, malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, Abdul Hadi dilapor berkata, untuk memastikan perubahan kerajaan berlaku, penting untuk rakyat mencerminkan sokongan dengan memberi kemenangan kepada calon PN yang bertanding pada Sabtu ini.
Selain Hadi beberapa pemimpin Perikatan Nasional turut mencanang tohmahan sama.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Datuk Azalina Othman Said turut menyatakan pendirian sama berkaitan perkara ini.