Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang memburu dua individu termasuk menantu pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin – Muhammad Adlan Berhan berkaitan kes Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
“(Ini) bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh SPRM termasuk berhubung terus dengan kedua-dua penama dan peguam masing-masing namun mereka masih gagal menghadirkan diri ke pejabat SPRM,” kata SPRM pada satu kenyataan hari ini.
Seorang lagi yang turut diburu adalah Mansoor Saat, 69 tahun.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” kata SPRM dalam kenyataan tersebut.
Pihak yang mempunyai maklumat mengenai individu terlibat diminta menghubungi pegawai penyiasat SPRM, Nur Muhammad Amin bin Jamaluddin di talian 603-88700799 atau 016- 4322 699 atau emel kepada amin.jamaluddin@sprm.gov.my.
Mahiaddin telah menafikan penglibatannya dalam projek tersebut pada 9 Feb 2023 dan turut menafikan penglibatan keluarganya dalam projek tersebut.
Pentadbiran Mahiaddin, dalam tahun 2020, mengumumkan NIISe sebagai “sistem yang lebih baik” bagi menangani kelemahan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang dikatakan tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing.
NIISe kemudiannya dilancarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada April 2021, diketuai oleh menterinya ketika itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Hamzah mengumumkan bahawa IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan NIISe bersama KDN dan badan bebas lain menjelang 2024.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Adlan ialah pemain utama dalam konsesi NIISe bernilai RM1.2 bilion melalui pautan dalam salah satu pendahulu projek itu, penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc.
Pengarah urusan kumpulan S5 Syed Mohammad Hafiz Jamalullail bagaimanapun menafikan penglibatan Adlan pada tahun 2021