Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah memulakan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran daripada fitnah yang dibuat oleh pemimpin PAS tersebut dalam siri Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ pada 2 Ogos.

“Justeru saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan memulakan proses tindakan undang-undang terhadap YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi bin Md Nor dengan segera atas fitnah yang dilontarkan ini,” kata Amirudin.

“Ucapan beliau tersebut jelas adalah fitnah, dan merupakan percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal REE yang terpalit ke atas beliau, yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini.

“Dengan tegas saya menafikan sekeras-kerasnya segala bentuk dakwaan dan tuduhan tersebut.”

Amirudin berkata apa yang diucapkan oleh Sanusi merupakan fitnah yang telahpun dijelaskan di sidang Dewan Negeri tahun lalu dan awal tahun ini serta dalam satu sidang Parlimen pada 1 Mac 2023.

Menurut Amirudin projek tersebut merupakan projek pembersihan Sungai Klang yang akan dijalankan oleh Kumpulan Berjaya.

Sanusi mendakwa bahawa Amirudin terlibat dalam skandal membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor, tanah seluas 600 ekar dan projek sungai bernilai RM10 bilion.

Sanusi mendakwa tanah tersebut telah diberikan secara percuma kepada pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Sanusi turut mendakwa bahawa anak syarikat MBI yang sepatutnya terlibat dalam projek tersebut kini dimiliki bersama oleh Tan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Berjaya mengesahkan bahawa pihak mereka akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed berkata dakwaan oleh Sanusi dibuat secara melulu dan tanpa sebarang pengesahan mengenai kebenarannya serta berniat jahat.

“Ia jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen kami serta kerajaan negeri terhadap peningkatan negeri Selangor dan rakyatnya.

“Saya juga ingin menambah bahawa kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini,” katanya.