AMANAH Johor akan mengadakan mesyuarat khas sebelum 10 Ogos ini untuk menamakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata pengurusan AMANAH negeri telah mengadakan mesyuarat sebelum ini dan meminta pimpinan Pulai dan Bakri untuk mengemukakan senarai calon mereka.
“Senarai nama calon akan dihantar kepada AMANAH Nasional selepas itu. Keutamaan adalah calon pemimpin Johor dan mestilah daripada kalangan pimpinan yang terbaik di peringkat kawasan atau negeri.
“Selain itu, mestilah berintegriti, mudah didekati oleh rakyat dan berjiwa rakyat serta mampu meneruskan agenda Rahmah peninggalan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor berkata beliau yakin kedua-dua kerusi itu bakal kekal milik parti itu berdasarkan prestasi baik Salahuddin sebagai wakil rakyat.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 9 September sebagai tarikh pengundian untuk pilihan raya kecil kerusi parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram.
Pilihan raya kecil untuk kedua-dua kawasan ini dijalankan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai.
Beliau yang juga merupakan Menteri Perdagagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah setelah menjalani pembedahan kerana pendarahan dalam otak.