Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) telah membuat laporan polis ke atas pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Mahiaddin Yassin.
Laporan polis itu dibuat ekoran dari kenyataan Mahiaddin yang mendakwa isu kalimah Allah membuktikan negara ini dikuasai oleh bukan Melayu.
“Kita pohon polis siasat bawah seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948. Ini jelas bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang menasihatkan agar tidak menyentuh isu 3R.
Syerleena turut menyatakan Mahiaddin adalah seorang hipokrit kerana kenyataan yang bercanggah.
Pada 22 Jun 2023, Mahiaddin meyatakan Perikatan Nasional tidak akan memainkan isu 3R ketika pilihan raya negeri.
“Jelas sekali munafiknya mereka ini! Hanya pada 22 Jun 2023, Perikatan Nasional membuat kenyataan, malah sebuah janji; untuk tidak menggunakan kaum dan agama pada pilihan raya negeri, yang hari ini jelas tidak membawa erti.
“Lidah berbelit sebegini menunjukkan parti tersebut dipenuhi dusta dan penipuan semata-mata. Malaysia tidak wajar lagi memberi perhatian kepada mereka ini. Bagaimana kita boleh percaya kepada pemimpin yang cakap tidak serupa bikin?”
Syerleena menambah Mahiaddin membuat kenyataan tersebut untuk memecah belahkan rakyat.
“Tujuan dia jelas untuk memecahbelahkan rakyat dengan menyemai rasa benci dan takut supaya rakyat tidak mengundi.”