Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Harrison Hassan sudah terpecat dari UMNO sejurus selepas Perikatan Nasional mengumumkan beliau sebagai calon di dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos, kata presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga adalah pengerusi Barisan Nasional berkata keahlian Harrison sebagai ahli UMNO tergugur dengan sendiri berdasarkan perlembagaan UMNO dan peraturan lembaga disiplin parti.

“Saya mendengar mengenai perkara ini selama sebulan jadi saya tidak terkejut. Kita hanya perlukan ahli yang setia dan akur dengan peraturan yang ditetapkan parti,” kata beliau setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Kebangsaan.

Harrison diumumkan sebagai calon PN Jeram meskipun beliau timbalan ketua bahagian UMNO Sungai Buloh.

Zahid turut menjelaskan isu jawatan timbalan ketua menteri untuk UMNO di Selangor dan Pulau Pinang tidak pernah dibincangkan.

“Apa yang penting di sini ialah kita sekurang-kurangnya mengekalkan tiga negeri di bawah pentadbiran parti kerajaan perpaduan.

“Untuk tiga lagi, kita perlu bekerja lebih keras dan kebijaksanaan politik untuk mendapatkan sokongan pengundi di sana,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan pilihan raya negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, dan Kelantan bersekali dengan parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos. Pencalonan dijadualkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.