Cabaran yang bakal ditempuh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak boleh dipandang ringan semua pihak, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Pengerusi BN itu berkata meskipun yakin negeri yang dikuasai PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu mampu terus dipertahankan menerusi kerjasama BN pada PRN kali ini, namun dinamika politik hari ini menuntut semua pihak berkerja keras untuk mencipta kemenangan.
Mengambil analogi perlawanan bola sepak yang menampilkan strategi berbeza bagi perlawanan yang berlainan, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata perkara sama juga berlaku dalam politik yang memerlukan pendekatan berbeza.
“Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) corak dan strateginya lain dan dalam PRN kali ini juga perlukan satu pendekatan yang lain, tidak boleh sama maka cabaran yang kita akan hadapi juga lain. Di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, tiada masalah untuk kita pertahankan.
“Walaupun kita mempunyai peluang untuk merampas Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun kita perlu bekerja lebih kuat untuk cuba merampasnya…paling tidak sekurang-kurangnya menambah bilangan kerusi kita di negeri-negeri itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan mahu semua pihak berkempen secara matang serta mengelakkan daripada politik dan kempen tidak sihat sepanjang PRN berlangsung.
“Kalau dalam kempen pun kita dah buka habis semua pekung, dikhuatiri pihak-pihak di luar negara yang berhasrat untuk melabur di negara kita berasa bimbang untuk melabur.
“Dengan adanya pelaburan, sudah tentu ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Mohamad yang telah dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan berkata biarpun telah lama mewakili kawasan berkenaan, namun ia bukan tiket untuknya berasa selesa.
“Setiap kali pilihan raya pasti cabarannya berlainan. Saya tak boleh mengambil ringan dan tetap perlu bekerja kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya.
Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah mewakili DUN Rantau selama empat penggal sejak 2004.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di keenam-enam negeri itu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.