Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon pilihan raya negeri di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur malam ini.
Pengumuman secara serentak oleh pengerusi BN merangkap presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meliputi calon PRN enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Timbalan pengerusi BN merangkap timbalan presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang diwar-warkan akan turut bertanding mempertahankan DUN Rantau turut dijadualkan hadir malam ini bersama kepimpinan komponen BN – MCA, MIC dan Friends of BN.
MCA dan MIC akan hadir meskipun tidak menyertai PRN yang dijadualkan pada 12 Ogos.
Penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala undi awal ialah 8 Ogos.
Selain PRN, Kuala Terengganu akan menyaksikan pilihan raya kecil setelah Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dari PAS.