Sorting by

×

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat menjauhi perasaan hasad dengki, fitnah-memfitnah, pemikiran prasangka sempit dan negatif.

Sifat sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah kepada bangsa dan negara, titah baginda.

“Mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah ini, beta ingin mengajak rakyat bersatu hati dalam membentuk sebuah masyarakat yang lembut dalam berbicara serta halus dalam berpesan.

“Harmoni dalam persaudaraan, jujur dalam pekerjaan, amanah dalam menggalas tugas dan gagah perkasa dalam mencipta kejayaan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H/2023M, di sini hari ini.

Tema sambutan Maal Hjrah peringkat kebangsaan tahun ini ‘Perpaduan Teras Malaysia MADANI’.

Baginda bertitah, semangat hijrah yang perlu dijelmakan rakyat ketika ini ialah menjaga kesatuan dan perpaduan dan semangat itu perlu dijelma tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan adat resam demi untuk membangunkan sebuah negara pertiwi.

“Penyatuan dan kesepaduan kaum Muhajirin dan Ansar yang berlaku 1,400 tahun lalu, adalah semangat hijrah yang wajar dijadikan pedoman utama dalam mengurus kepelbagaian dan kerencaman negara.

“Islah ke arah kebaikan mesti bermula dalam hati sanubari sendiri dengan penuh komited dan jujur,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan dalam menggerakkan agenda Malaysia Madani.

“Beta turut menghargai pelaksanaan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama menuju Malaysia Madani, sebagai langkah proaktif untuk menjayakan agenda pembangunan dan pembaharuan ummah.

“Selain itu, semangat dan roh hijrah dalam memupuk sifat amanah dan berintegriti hendaklah sentiasa tumbuh segar di dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” titah baginda.

Bersempena dengan kedatangan tahun baru hijrah ini, baginda menyeru seluruh rakyat bersama mensyukuri akan nikmat keamanan dan kemakmuran negara yang sudah dikecapi hingga kini.

“Suburkan rasa kasih dan kecantikan kita kepada tanahair ini, sebagaimana cintanya Rasulullah SAW kepada tanah kelahiran baginda,” titah baginda.

Baginda turut mengambil iktibar dari penghijrahan Rasulullah Nabi Muhammad S.A.W. ke Madinah.

“Peristiwa hijrah juga sudah membuka helaian lembaran baru dalam usaha untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu serta menjulang tinggi nilai-nilai keinsanan.

“Negara Islam pertama sudah dibentuk berasaskan kepada semangat perpaduan dan hidup dengan penuh kerukunan di bawah Piagam Madinah yang bersifat inklusif, menaunggi masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Penghijrahan Rasullulah SAW adalah pencetus kepada penyebaran agama Islam ke seluruh dunia,” titah baginda.