Tuduhan sembreno pengarah pilihanraya Perikatan Nasional, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang mengecam masyarakat bukan Islam sebagai pemberi dan penerima rasuah terbanyak membuktikan Perikatan Nasional adalah perosak keharmonian kaum di Malaysia.
“Kenyataan berulangan seperti ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah perosak kepada keharmonian antara kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk kita demi perpaduan rakyat Malaysia,” kata setiausaha agung DAP, Anthony Loke.
Dalam rancangan Keluarga Sekejap, Sanusi telah membuat tuduhan tersebut terhadap masyarakat bukan Islam.
Loke bagi pihak DAP turut mengutuk kenyataan Sanusi yang disifatkan sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Beliau turut mencabar Sanusi untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan atau memohon maaf.
“Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Dimana “faktanya”? Fakta berdasarkan kajian apa?
“Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka.”
Loke menambah bahawa penglibatan rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum atau agama.
Beberapa bulan lalu, presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah membuat tuduhan sama terhadap masyarakat bukan Melayu.