Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa bahawa beliau telah pun menjangkakan gabungan dua mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad-Tan Sri Mahiaddin Yassin akan bekerjasama.

Beliau menambah bahawa kerjasama tersebut adalah demi kepentingan termasuk harta mereka.

“Itu bukan perkara baharu. Kita tahu kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk pertahankan cara dan harta mereka.

“Kita bertanggungjawab untuk selamatkan negara dan rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa.

Beliau mengulas pertemuan dua bekas perdana menteri itu dua hari lalu, tiga tahun selepas kedua-duanya “bersengketa” angkara Langkah Sheraton yang menjatuhkan Mahathir dari kedudukannya.

Mahathir dan Muhyiddin bersetuju untuk saling mengukuhkan perpaduan orang Melayu serta meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN 12 Ogos depan.

Anwar turut menyambut baik kesudian MCA dan MIC untuk turut serta berkempen di dalam pilihan raya negeri di enam negeri pada 12 Ogos meskipun kedua-dua parti telah menarik diri dari menyertai pilihan raya tersebut.

“Kedua-duanya ada menghubungi saya dan menyatakan peringkat ini mereka tak akan menyertai (PRN) dan beri sokongan, saya fikir ini dalam ruang kuasa BN (Barisan Nasional),” katanya merujuk kepada presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

“Tetapi saya ucap terima kasih di atas kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kerajaan perpaduan,” katanya.