Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Lima pertimbangan strategik diberi fokus sepanjang tempoh pelaksanaan Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi menjajarkan semula hala tuju pertahanan negara, demi melindungi kepentingan negara serta mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata fokus pertama adalah menyentuh kesiagaan angkatan masa hadapan, yang mana usaha membangunkannya mesti menjadi matlamat besar berdasarkan KPP serta dasar atau pelan strategik yang selari.

Beliau berkata, Angkatan Masa Hadapan mesti difahami menerusi kaedah dan konteks lebih luas dan strategik, tidak secara automatik yang hanya merujuk secara terhad kepada pengambilan lebih ramai anggota atau perolehan lebih banyak aset pertahanan.

“Misalnya, membahaskan keperluan satu angkatan khusus yang memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional, seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

“Penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan disebut hacktivist, sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara, malah mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan serta sistem perubatan dan pengangkutan,” katanya.

Justeru katanya, akan menjadi norma kepada pasukan angkatan tentera selepas ini untuk memulakan proses pengambilan yang menyasarkan golongan seperti penggodam sebagai sebahagian anggota pertahanan negara.

“Malah, banyak penganalisis meramalkan pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih membabitkan kecanggihan teknologi seperti unmanned drones dan aset yang dikawal secara digital. Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI), big data dan pendigitalan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kick-Off KSP KPP di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selasa lalu.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman. 

Sempena majlis itu, turut diadakan Sesi Wacana Khas KSP KPP yang menampilkan empat panel. Panel 1, Ketua Pusat Pengajian Asia, Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kuik Cheng Chwee – manakala Panel 2, Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Adam Leong Kok Wey.

Sementara, Panel 3, Shahriman Lockman – ISIS dan Panel 4, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Rushdi Abdul Rahim.

 Adaptasi AI, data raya 

Fokus kedua, kata beliau, adaptasi kepada AI, big datadan pendigitalan oleh MINDEF dan ATM mesti terkandung di bawah lima fungsi iaitu threats monitoring (pemantauan ancaman); trends analysis (trend analisis); performance tracking (keupayaan menjejaki); transformation driver (pemacu transformasi) serta touch point platform.

“Saya percaya, proses membina Angkatan Masa Hadapan tidak boleh dibincangkan secara objektif tanpa memberi perhatian kepada perkara seperti penggunaan data raya atau big data dan AI,” katanya.

Sementara itu, yang perlu menjadi fokus seterusnya adalah, KSP mesti memberi perhatian kepada pembangunan dan perkembangan industri pertahanan, namun ia harus diteliti dengan lebih strategik dan realistik.

“Aspek seperti pemerkasaan bakat tempatan, kerjasama strategik dengan pemain yang lebih besar dan berpengalaman, pembangunan kandungan tempatan, mesti menjadi antara fokus penting. Saya menyarankan agar pengemasan perkara ini dilakukan,” katanya.

Katanya, fokus keempat adalah pemerkasaan anggota pasukan simpanan, dengan mendalami dan meletakkan secara jelas sasaran untuk merekrut, melatih dan mempunyai sejumlah anggota simpanan yang optimum pada satu-satu masa.

“Pada masa sama, kerangka dan peruntukan perundangan serta dasar menyentuh keperluan dan kepentingan anggota simpanan mesti dilihat secara menyeluruh. Perkara ini bukan sahaja membantu ATM berfungsi dengan lebih berkesan, malah selari hasrat membabitkan masyarakat secara bermakna dalam agenda pertahanan negara,” katanya.

Fokus terakhir kata beliau, menyentuh diplomasi pertahanan, adalah diharapkan KSP KPP berupaya meletakkan Malaysia bukan sahaja sebagai sebuah negara maritim berdaulat, tetapi negara mempunyai kredibiliti pertahanan yang menyerlah dan berkesan.

“Kita mesti mengangkat Malaysia sebagai pentas terbuka bagi membincangkan ancaman pertahanan bukan tradisional. Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) melalui Putrajaya Forum boleh meneroka aspek ini sebagai satu flagship atau signature focus kepada kita,” katanya.

Bagi membangunkan KSP juga, input dan pandangan diperoleh hasil sesi libat urus membabitkan pelbagai pemegang taruh dan pihak mempunyai kepakaran mendalam dalam isu dikaji, kemudian akan diteliti untuk tujuan menilai pencapaian semasa KPP, mengkaji persekitaran strategik semasa serta menambah baik dasar dan pelaksanaan KPP di bawah Rancangan Malaysia ke-13.

Selain sesi libat urus itu, portal KSP KPP boleh dilayari menerusi https://kspkpp.mod.gov.my/ turut disediakan bagi memberi peluang masyarakat memberi maklum balas dan cadangan penambahbaikan kepada pelaksanaan KPP.-BH Online n