Sorting by

×

Masih adakah yang mahu terus bersengketa sedangkan sudah berulang kali diperingatkan termasuklah yang terkini daripada Sultan Selangor sendiri.

Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memberi peringatan agar umat Islam menghentikan sengketa atas sebab agama hingga menyebabkan berlakunya permusuhan, salah faham dan kekeliruan, tentulah tidak sukar difahami oleh kita semua.

Hakikatnya, sudah puluhan tahun dan atas banyak isu telah menyaksikan umat Islam di negara kita berbalah sesama sendiri.

Soalnya sampai bila?

Baru-baru ini dalam isu keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 undang-undang syariah Kelantan, sekali lagi menyaksikan berbalahnya umat Islam sesama sendiri.

Walhal, berlakunya perbalahan itu lebih kerana ada yang terlalu mempolitikkan keputusan tersebut, selain tidak memahami kerana malas membaca serta meneliti apa yang diputuskan oleh mahkamah tertinggi itu.

Jika mereka faham, pasti mereka sedar bahawa keputusan itu adalah bersandarkan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara dan ia tidak menjejaskan sedikit pun kedudukan mahkamah syariah sedia ada.

Dalam titah baginda yang menyeru dihentikan persengketaan itu , baginda menekankan sudah tiba masanya untuk umat Islam bersatu padu demi kekuatan ummah bagi membolehkan mereka dihormati termasuk dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

“Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini.

“Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam.

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam.

“Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam,” titah baginda lagi sebagaimana dipetik dari Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Baginda bertitah demikian sempena mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) ke-71 yang dipengerusikan oleh baginda di Putrajaya hari ini.

Dalam isu berkaitan, Sultan Sharafuddin juga mengulangi titah baginda agar pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah dari pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.

“Teguran beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak malah beta mengingatkan kepada semua ahli-ahli politik agar jangan mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan.

“Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,” titah baginda lagi.

Sultan Selangor seterusnya berharap amalan melantik Menteri Agama daripada kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

Titah baginda, pendekatan itu membolehkan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan Menteri Agama bagi menyelesaikan pelbagai isu melibatkan umat Islam.

Berdasarkan sejarah yang berlaku di depan mata kita semua, disertai dengan peringatan Sultan Selangor itu, tidak dinafikan banyak berlaku sengketa sesama Islam adalah disebabkan politik dan juga kerana tidak memahami secara mendalam sesuatu isu yang timbul itu.

Cuba kita renung sejenak, apakah semua persengketaan yang berterusan itu baik untuk masa depan negara?

Janganlah mengikut emosi melulu korbankan negara kerana yidak mampu mengawal nasfu.-MP