Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Ia dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Serentak itu, katanya, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac ini.
“Semua jenis pembungkusan dan warna sedia ada dipasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.
“Namun, pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran.
“Ketetapan ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Syed Abu Hussin Hafiz berkata penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.
Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.
“Tindakan ini berpunca akibat tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, menyebabkan harga barangan berkenaan sentiasa tinggi selain didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global.
“Ia menyebabkan label beras putih tempatan akhirnya ditukar kepada beras putih import atau ia dicampur dan sebagainya, menyebabkan bekalannya sukar didapati di pasaran,” katanya.-BH Online