Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu tidak boleh dijadikan bahan perbahasan politik.

Pada masa yang sama, meskipun beliau mengelakkan penggunaan Akta Hasutan 1948, pentadbiran beliau tidak akan teragak-agak untuk menggunakan akta tersebut untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu.

“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.

“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya kepada media setelah menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor.

Pagi ini pengarah pilihan raya Perikatan Nasional Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah didakwa dibawah seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mempersoal kewibawaan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah dalam pelantikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Sanusi juga didakwa di bawah akta yang sama kerana mempersoal penubuhan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.