Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata terdapat keperluan untuk meneliti kewujudan akta baharu berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian seiring dengan perkembangan pesat teknologi.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan Undang-Undang Baharu Berkaitan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian semalam yang dipengerusikan secara bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, terdapat beberapa aspek yang boleh dikawal selia dengan akta sedia ada, bagaimanapun pihak jawatankuasa teknikal akan meneliti jenis perundangan yang diguna pakai di negara luar bagi memastikan keselamatan dalam talian adalah terjamin.null

“Banyak negara lain mewujudkan akta khusus contohnya untuk kecerdasan buatan. Kita sedang teliti undang-undang yang ada di Malaysia.

“Kita juga sedang meneliti di negara lain apakah cabaran yang dihadapi dan bagaimana melalui langkah perundangan mereka mewujudkan akta-akta baharu… ini sedang diteliti dan diselaras,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bil 2/2024 di sini hari ini.

Fahmi berkata, mesyuarat itu juga mendengar isu dan cabaran dihadapi setiap agensi serta kementerian berhubung aspek keselamatan dalam talian termasuk membabitkan keselamatan kanak-kanak dan akan melaksanakan beberapa perkara yang memerlukan tindakan segera.

Dalam pada itu, Azalina menerusi catatan di Facebook berkata perkhidmatan dalam talian adalah satu keperluan dan menjadi antara elemen terpenting dalam kehidupan seharian, namun alam siber kini dieksploitasi sehingga menjadi lubuk jenayah yang semakin berleluasa selain berada pada tahap yang membimbangkan. 

Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik kesediaan Kementerian Sumber Manusia untuk mencari kaedah bagi membantu pekerja dan wartawan sambilan yang membabitkan pengamal media serta penggiat industri seni.

“Ini satu perkara yang telah lama saya perjuangkan. Kita sedang teliti sedikit perincian memandangkan aspek untuk pengamal media dan penggiat industri seni adalah berbeza.

“Saya juga ingin mengadakan perbincangan tambahan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim… mungkin dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu boleh dimasukkan aspek seperti pencen ilat dan pencen inakat untuk golongan ini,” katanya.

Semalam Sim berkata terdapat kira-kira 30,000 pengamal media serta penggiat industri seni dalam negara dan menzahirkan hasrat untuk memperluas liputan perlindungan di bawah PERKESO kepada mereka, antaranya menerusi SKSPS yang memberikan perlindungan kepada individu bekerja sendiri. -Bernama