PUTRAJAYA: Sebanyak 115 pihak berkuasa tempatan (PBT) disasarkan mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 penarafan bandar pintar menjelang 2030.
Ia selaras usaha kerajaan memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam menerusi penggunaan teknologi dan inovasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, berkata agenda bandar pintar Malaysia kini diangkat sebagai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) Nasional, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Malaysia MADANI.
“Sejak Penarafan Bandar Pintar Malaysia diperkenalkan pada 2023, sebanyak 88 PBT di seluruh negara sudah memperoleh pengiktirafan berkenaan.
“Bagi 2026, sebanyak 28 PBT diperakukan menerima pengiktirafan baharu berdasarkan piawaian Malaysia Standard (MS) ISO 37122:2019, iaitu indikator bagi bandar pintar dan komuniti mampan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Daripada jumlah itu, satu PBT mencapai Tahap 3: Leading Smart City; PBT mencapai Tahap 2: ‘Developing Smart City’ (sembilan) dan Tahap 1: Smart City Early Adopter (18).
Pengiktirafan itu mencerminkan kemajuan PBT menerapkan pendekatan bandar pintar berdasarkan indikator ditetapkan, selain menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Kor Ming berkata, penarafan bandar pintar adalah instrumen penting untuk menggalakkan PBT meningkatkan keupayaan, memperkukuh tadbir urus dan menerapkan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Bandar pintar bukan sekadar mengenai penggunaan teknologi, tetapi bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk memudahkan urusan rakyat, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mewujudkan persekitaran bandar lebih selamat, mampan serta selesa untuk didiami,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, KPKT turut memperluas penarafan bandar pintar kepada sektor swasta menerusi penarafan ‘Smart Township’ sejak 2025 bagi menggalakkan pembangunan perbandaran yang lebih pintar, mampan dan berdaya huni.
Bagi tahun ini, sebanyak 12 permohonan diterima daripada pemaju swasta, dengan lapan kawasan perbandaran berjaya memenuhi kriteria penarafan ditetapkan.
Daripada jumlah itu, satu kawasan perbandaran memperoleh penarafan Platinum; Gold (empat) dan Silver (tiga).
Beliau berkata, pembabitan sektor swasta penting bagi melengkapi usaha kerajaan menerapkan prinsip bandar pintar secara menyeluruh, termasuk dalam pembangunan kawasan perbandaran serta pengurusan kemudahan dan perkhidmatan menyokong kehidupan seharian penduduk.
Penyampaian anugerah kepada PBT akan disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, 4 November ini sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2026 di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). -BH Online

