Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited akan terus mempergiatkan usaha dalam menurunkan kadar jenayah di seluruh negara termasuk di daerah Klang.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pihaknya tidak akan membenarkan stigma negatif terhadap bandar Klang berterusan sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
“Bersihkan bandar ini supaya stigma dan persepsi ini hilang bahawa ini bukan bandar Columbia, ini tetap bandar Klang, Bandar Diraja. You must put that in mind (anda mesti ingat itu). Kita akan tentukan bahawa bandar ini bersih,” katanya pada sidang media selepas program tinjauan mesra di Pasar Pagi Pandamaran di sini.
Tegasnya lagi, masyarakat memiliki hak untuk melapor sebarang salah laku melibatkan pegawai dan anggota PDRM.
“Sekiranya mana-mana pegawai polis termasuk saya sekalipun jika melanggar undang-undang peraturan laporkan, supaya boleh disiasat,” katanya.
Razarudin bersama Timbalannya, Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dan menyantuni masyarakat setempat.
Ini juga selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, agar jalinan kerjasama antara masyarakat dan PDRM sentiasa berkekalan terutama dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.-Berita RTM