Sorting by

×

Kerajaan negeri Melaka tidak lagi menetapkan sebarang kuota kepada pemaju bagi membina sebarang projek perumahan sebaliknya perlu mengikut permintaan dan keperluan rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemaju kini tidak lagi diberi pengecualian sewenang- wenangnya bagi membina rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah tetapi mereka perlu mengikut perkiraan baharu mengikut keperluan rakyat untuk memiliki rumah.

Menurutnya, perkara itu diputuskan menerusi dasar perumahan Negeri Melaka yang baharu, bagi memastikan golongan B40 khususnya tidak tertinggal daripada menikmati pembangunan perumahan yang selesa.

“Saya tidak akan memberikan pengecualian kepada pembinaan rumah kos rendah perumahan yang baru berbanding dengan kaedah yang terdahulu kebanyakkannya rumah rumah kos rendah ni kita terlepas pandang keperluan rakyat untuk memiliki rumah.

“Saya juga akan membuat satu perkiraan baharu berdasarkan kepada permintaan dan juga pembekalan kepada dasar perumahan baharu berapa ramai orang yang mendftar untuk rumah kos rendah ini kita akan bina ikut keperluan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati serta Penyerahan Sumbangan TNB di Kampung Lubuk Redan, Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ab Rauf berkata, berdasarkan pematuhan baharu itu, ia tidak akan membebankan pemaju dalam aspek aliran tunai memandangkan kuota rumah yang dibina adalah mengikut permintaan.-Berita RTM